Mengikut daripada buku Riwayat Tanjong Malim, nama asal Tanjong Malim ialah Tanjong Jambu. Terletak di kuala sungai dua buah sungai iaitu Sungai Inki dan Sungai Bernam. Berbentuk seperti tanjung dan di atasnya tumbuh sebatang pokok Jambu Keling. Penduduk asal kawasan tersebut menamakannya Tanjong Jambu.
Penduduk asal kawasan ini ialah suku kaum Batak. Aktiviti harian mereka ialah memburu binatang dan menangkap ikan. Dalil yang menunjukkan kaum Batak ada menghuni kawasan ini adalah berpandukan buku "Peperangan Datuk Keranji dan Raja Batak". Dalam buku ini ada menyebut bahawa orang Batak berperang dengan Datuk Keranji kerana Datuk Keranji tidak bersetuju anak gadisnya yang digilai oleh Raja Batak dikahwinkan dengan Raja Batak tersebut. Raja Batak naik marah dan mengarahkan pengikutnya menyerang Datuk Keranji yang berada di sebuah bukit. Sebelum orang-orang Batak naik ke bukit tersebut, terlebih dahulu mereka mengasah senjata di batu bukit tersebut. Lalu bukit tersebut dipanggil Bukit Asah atau pun sekarang dikenali sebagai Changkat Asah. Kedudukan Changkat Asah ini adalah betul-betul bersebelahan dengan Tanjong Jambu.
ORANG BUGIS
Kedatangan Orang Bugis adalah disebabkan peperangan yang berlaku di Kuala Selangor antara Sultan Abdul Samad dan menantunya Tengku Kudin dengan Raja Mahdi. Sultan Abdul Samad mendapat bantuan dari orang Kedah dan Pahang sementara Raja Mahdi mendapat pertolongan dari Orang Bugis. Akhirnya Raja Mahdi tewas dan melarikan diri ke Hulu Selangor yang terletak di Sungai Bernam bersempadan dengan Tanjong Jambu. Orang-orang Bugis turut lari melepaskan diri dan ada antaranya yang lari ke Tanjong Jambu melalui Sabak Bernam.
Di Tanjong Jambu, mereka bertemu dengan kaum Batak yang sedia ada dikawasan ini. Orang-orang Batak tidak suka bercampur dengan orang mendatang mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat lain. Orang-orang Bugis pula sangat tertarik hati untuk mendiami kawasan tersebut telah membuat perkampungan dan melantik seorang ketua yang dipanggil menteri untuk menjaga keselamatan mereka. Bukti yang menunjukkan orang-orang Bugis mendiami kawasan ini ialah wujudnya bekas kubur orang Bugis dibelakang Panggung Cathay Ulu Bernam
ORANG RAWA
Pada tahun 1870, satu kumpulan orang Rawa yang diketuai oleh Haji Mustafa bin Raja Kemala telah datang ke Tanjong Jambu dengan tujuan mencari perlindungan dari serangan orang Negeri Pahang. Mereka ini datang lengkap dengan alat senjata seperti meriam, keris, tombak dan lain-lain lagi. Setibanya mereka di Tanjong Jambu, mereka telah disambut oleh orang Bugis dan sama-sama mendiami kawasan tersebut. Tetapi akhirnya orang Bugis tidak dapat menyesuaikan diri dan meninggalkan kawasan tersebut menghilir ke selatan Sungai Bernam dan membuat perkampungan di Lubuk Salak.
Orang Rawa di Tanjong Jambu telah mendirikan kubu-kubu sebanyak 3 lapis untuk mengelakkan dari dijumpai musuh. Lapis pertama di Kuala Kubu, lapis kedua di Kg. Gumut, Kalumpang dan lapis ketiga di Tanjung Jambu. Maka, nama Tanjong Jambu telah digantikan dengan nama Kampung Kubu hinggalah sekarang perkampungan ini masih wujud sebagai kawasan perkampungan tertua di Tanjung Malim. Di dalam kawasan Kg. Kubu ini dibina masjid, balai polis dan rumah rehat. Sebagai mengenang jasa baik Haji Mustafa bin Raja Kemala mengendalikan kawasan tersebut, beliau telah dilantik sebagai penghulu pertama di kawasan tersebut.
TANJONG MALIM
Tuan List merupakan wakil kerajaan Inggeris Negeri-negeri Selat bersama Raja Itam adalah ditugaskan untuk memungut cukai di Sabak Bernam dan mereka telah dapat tahu mengenai kewujudan Kg. Kubu. Maka mereka telah mudik ke hulu untuk mengetahui kemajuan kawasan tersebut.
Apabila mereka sampai, Tuan List dan Raja Itam naik ke darat untuk meninjau sekitar kawasan tersebut. Kemudian mereka terdengar suara riuh-rendah seperti orang membaca Al-Quran di madrasah yang berdekatan. Mereka menghampiri madrasah tersebut dan berbual dengan orang tua yang ada di madrasah itu. Kemudian Tuan List berkata kepada Raja Itam bahawa orang yang tinggal di kawasan itu ramai yang alim-alim dan dengan itu dia menamakan tempat tersebut Tanjong Malim dan ianya kekal hingga sekarang
Selanjutnya
Mau Belajar Aksara Batak?? Klik Di sini